Selasa, 19 April 2011

Geniuskah anda? Oleh: Irfan Khairi http://www.facebook.com/irfankhairi.fb

Pepatah daripada Thomas Edison berbunyi “Genius is one percent inspiration and ninety-nine percent perspiration.” Sekiranya itu benar, kita semua punyai potensi menjadi seorang genius!
Bagaimana caranya? Tidak sesusah yang disangkakan. Dengan hanya mengikut 3 perwatakan seseorang genius, anda juga boleh menduplikasikan diri anda menjadi genius.
Perwatakan genius #1
Seseorang genius mempunyai daya fokus yang amat tinggi. Apabila berdepan dengan sesuatu kerja, masalah atau isu, pemikiran yang tajam diletakkan 100% pada masa itu untuk menyelesaikannya. seluruh tenaga dapat didedikasikan untuk menjayakan sesuatu. Lebih hebat kita fokus kepada sesuatu isu dengan tumpuan yang amat tajam, lebih hebat & kreatif kita akan mencapai sesuatu matlamat itu. Ini bermakna, ketika melakukan sesuatu, tumpukan 100% perhatian kepada perkara tersebut- tanpa memikirkan benda lain yang hanya menganggu momentum kita melakukan kerja.
Asas kepada melakukan ini adalah dengan mempunyai matlamat dalam melakukan apa sahaja. Sesuatu matlamat yang bertulis akan menjadikan tugas yang kita ingin lakukan lebih jelas dan tertumpu. Tidak kira matlamat kecil, ataupun matlamat besar, kita perlu ambil pen dan kertas dan tuliskannya. Aktiviti menulis ini sahaja akan menggerakkan minda separuh sedar kita untuk membantu mencapai matlamat tersebut.
Sebaiknya menulis semua detail dan maklumat matlamat – lagi banyak maklumat yang ditulis, lebih mudah minda untuk berfungsi membantu mencapaikannya.
Berita baiknya, untuk mengasah fokus kita, adalah sesuatu yang boleh dipelajari. Dengan memupuk tabiat menulis setiap matlamat kita dan berusaha menjauhkan gangguan-gangguan minda , secara perlahan-lahan, kita akan lebih fokus kepada kerja di tangan 100%!

Perwatakan genius #2
Seorang genius mempunyai kaedah dan cara yang sistematik untuk menangani sesuatu isu, masalah atau kerja. Dalam kata lain, mempunyai perancangan yang rapi- sering kali menulisnya atas kertas setiap langkah mengikut prioriti. Mereka juga mengambil masa untuk duduk dan mencerminkan keadaan semasa dengan tepat supaya ketahui sesuatu titik permulaan.
Tidak cukup dengan hanay menulsi matlamat, skema perancangan bagaimana hendak mencapai matlamat tersebut juga perlu ditulis. Ianya dikatakan bahawa seringkali sesuatu masalah itu mempunyai penyelesaian yang amat jelas hanya dengan cara benar-benar duduk dan memastikan apakah sebenarnya masalah yang dihadapi.
Tetapkan prioriti dalam apa yang ingin dilakukan. Apa yang perlu dibuat dahulu, dan apa yang perlu dikemudiankan. Bukan sekadar menjadi genius sahaja, tetapi, tip ini juga akan membatu menguruskan masa.
Cara mudah menggunakan teknik ini adalah menyenaraikan apa sahaja yang kita ingin lakukan, dan meletakkan prioriti A-B-C-D pada setiap entri di mana A adalah sesuatu yang paling penting untuk dilakukan dan D adalah sesuatu yang tidak penting langsung dan boleh di tinggalkan. Selepas membuat prioriti, ikut susunan kerja yang perlu dilakukan dari A sehingga C.
Ianya adalah amat penting untuk mengetahui di mana kita berada kini untuk membolehkan kita melihat perjalanan kita untuk mencapai matlamat dengan lebih jelas. Para genius melakukannya, apa kata kita turut lakukan!
Perwatakan genius #3
Seorang genius mempunyai minda yang terbuka dan sedia menerima idea-idea baru dan tidak menutup fikirannya. Sering kali bertanyakan soalan “What if…” dan mengundang berbagai-bagai input dan jawapan untuk menghasilkan sesuatu.
Thomas Edison juga pernah menyebut “The greatest invention in the world is the mind of a child”. Ketika kita kanak-kanak, kita tidak meletakkan had pada pemikiran kita. Entah bagaimana, pemikiran begitu hilang apabila kita membesar. Apa yang kita perlu lakukan adalah buka fikiran dan imaginasi kita kepada idea-idea baru. Bebaskan pemikiran kita dan jangan meletakkan had pada apa yang kita boleh capai.
Dengan melakukan ini, secara automatik kita akan menjadi lebih kreatif seperti seorang yang genius!
Menjadi genius adalah sesuatu yang semua orang boleh pelajari. Saintis mengatakan bahawa manusia genius sepertti Albert einstein atau Thomas Edison hanya menggunakan 10% daripada otak mereka. Begitu besar lagi potensi otak manusia yang masih belum pernah diterokai. Langkah awal kita adalah dengan mengamalkan 3 perwatakan genius yang telah diterapkan di atas!
Semoga kita menjadi seorang yang genius tak kira apa sahaja yang kita lakukan!
*****************
Pakar perniagaan Internet, personaliti TV & radio, Irfan Khairi mendedahkan kaedah sebenar memulakan perniagaan Internet dari rumah di acara 2-hari Revolusi Perniagaan Internet. Sertai Revolusi Perniagaan Internet bersama Irfan Khairi dan ketahui bagaimana anda boleh menjalankan perniagaan Internet yang berjaya. Klik di sini untuk maklumat lanjut.

Di manakah tahap kewangan anda? Oleh: Irfan Khairi http://www.facebook.com/irfankhairi.fb

Terdapat 4 tahap kewangan bagi sesiapa sahaja. Untuk mencapai kejayaan dari segi kewangan, kita perlu ketahui di manakah keadaan kewangan kita kini. Sama seperti dalam mencapai apa sahaja matlamat, kita perlu ketahui di manakah kedudukan kita kini untuk mencapai matlamat tersebut. Dalam kata lain, untuk sampai ke poin B, kuta perlu ketahui poin A.
Di manakah tahap kewangan anda, adakah ianya pada tahap selamat ataupun tidak selamat? Pastinya semua orang mengimpikan untuk mencapai keadaan bebas kewangan ataupun, lebih daripada itu!
Artikel saya kali ini, adalah untuk anda cerminkan kedudukan anda sendiri dari segi kewangan.
Berikut adalah 4 tahap kewangan tersebut. Di manakah tahap kewangan anda?
#1: Kewangan tidak selamat (Finacially not secure)
Keadaan ini adalah apabila jika anda tidak mempunyai simpanan pun. Dalam erti kata lain, sekiranya ada pun simpanan, anda hanya mampu menyara hidup anda dan keluarga selama sebulan sahaja. Sekiranya anda hilang kerja esok, sebulan sahaja anda dapat hidup tanpa mengubah gaya hidup dengan wang simpanan yang ada.
Tahap ini amat tidak selamat bagi sesiapapun. Boleh diumpamakan sebagai kais pagi-makan pagi… kais petang makan petang. Zaman modern ini, seumpama kais bulan ni, makan bulan ni… kais bulan depan, makan bulan depan ;)
Masalahnya, ramai antara kita berada dalam keadaan yang tidak selamat ini. Bayangkan sekiranya tempat anda kerja terpaksa melepaskan anda esok. Cukupkah simpanan yang anda ada untuk menyara hidup anda dan keluarga selama satu bulan? Sekiranya tidak, maka, perlu bunyikan siren amaran bahawa tahap kewangan anda tidak selamat!
#2: Kewangan Selamat (Financially secure)
Ini adalah pilihan yang lebih baik. Ertinya, umpamanya sekiranya anda berhenti kerja (atau diberhentikan :) ) anda mempunyai simpanan untuk menyara hidup anda dan keluarga anda selama 6 bulan. Sekiranya anda berada dalam tahap ini, tahniah! kerana tidak ramai yang berada di sini.
Enam bulan adalah jangka waktu yang logik untuk seseorang itu mendapatkan kerja lain atau memulakan perniagaan untuk menyambung pendapatan sara hidup. Matlamat utama anda sekiranya anda berada di tahap #1 adalah untuk mencapai tahap ini… cukupkan simpanan anda untuk menyara 6 bulan hidup anda dan keluarga- tanpa perlu kerja!
Bagaimana hendak mencapai keadaan ini? Dengan mengamalkan tabiat menyimpan sekurang-kurangnya 10% pendapatan anda. Sekiranya anda merasakan ianya sukar untuk anda menyimpan 10% daripada simpanan anda, tidak mengapa. Mulakan dengan 2%. Pastinya anda boleh simpan 2% daripada pendapatan anda bukan?
Dengan bermula pada hanya 2%, anda akan menanam tabiat menyimpan, dan merasakan ianya mudah untuk menyimpan 2%. Apabila selesa dengan 2%, tambahkan simpanan kepada 4% sehingga rasa selesa, dan seterusnya 6%, 8% sehingga 10%.

#3: Bebas kewangan / Mandiri kewangan (Financially Free)
Ini adalah matlamat bagi ramai antara kita. Tetapi, yang mencapainya adalah amat sedikit. Ertinya sekiranya anda berada di tahap ini adalah- anda bebas untuk membuat pilihan untuk bekerja ataupun tidak! Anda mempunyai simpanan atau pun aliran pendapatan secara automatik yang cukup untuk menyara hidup anda sekeluarga sampai bila-bila! Tahap ini, anda tidak perlu kerja lagi (atau menjalankan perniagaan). namun begitu, ramai yang berada di tahap ini, masih lagi meneruskan karier atau perniagaan kerana berasa seronok melakukannya. Bukan kerana terpaksa, tetapi dengan sukarela…
Tips untuk mencapai keadaan ini adalah fikirkan aliran pendapatan berganda secara automatik, contoh seperti menyewa rumah, membina perniagaan yang dikendalikan secara automatik (perniagaan Internet) atau membina perniagaan yang dikendalikan oleh orang lain (mungkin pengurus).
#4: Tahap Tersangat kaya (Ultra Rich)
Tahap ini lagi la sedikit yang capai… teramat sedikit. Mereka ini jenis yang mempunyai wang yang banyak sehingga tak terpakai wang yang dimiliki. Mereka boleh derma beratus ribu ringgit atau berjuta kepada badan-badan kebajikan yang dipilih… nama nama seperti Tan Sri Mokhtar Bukhari, Tan Sri Daim Zainuddin, mendiang Tan Sri Lim Goh Tong dan Tan Sri Ananda Krishnan adalah tokoh-tokoh perniagaan yang berada di dalam tahap ini.
Mereka sering memiliki perniagaan besar-besaran yang dikendalikan oleh beribu-ribu pekerja. Sering kali wang yang dimiliki adalah berlebihan dan tidak terbelanja sehingga akhir hayat, walaubagaimanapun, keadaan ini tidak membuatkan mereka berhenti melakukan kerja dan menjalankan perniagaan oleh kerana, seringkali, bagi mereka yang berada di dalam keadaan kewangan ini, melakukan kerja kerana cintakan kerja- dan bukan wang!
Di manakah tahap kewangan anda dan ke manakah hala tuju matlamat kewangan anda? Tepuk dada, tanya selera!
*****************
Pakar perniagaan Internet, personaliti TV & radio, Irfan Khairi mendedahkan kaedah sebenar memulakan perniagaan Internet dari rumah di acara 2-hari Revolusi Perniagaan Internet. Sertai Revolusi Perniagaan Internet bersama Irfan Khairi dan ketahui bagaimana anda boleh menjalankan perniagaan Internet yang berjaya. Klik di sini untuk maklumat lanjut.

Ahad, 10 April 2011

"Aku Adalah Pelajar Universiti Kehidupan "

Kalau ditanyakan kepada orang tua, bilakah masanya dalam takah kehidupan ini mereka rasakan terlalu banyak melakukan kesalahan dan kesilapan? Nescaya mereka menjawab, "semasa kami masih muda."
Ya, bila seorang tua menoleh ke belakang, terasa begitu banyak perkara yang sepatutnya dibuat semasa muda, tidak dibuat. Sebaliknya banyak pula perkara yang tidak sepatut dibuat, telah dibuat.
Sayangnya, kebanyakan orang muda tidak menyedari hakikat ini sehinggalah mereka  sendiri meningkat tua. Lalu atas kealpaan itu mereka akan mengulangi kesalahan yang pernah dilakukan oleh bapa, datuk dan moyang mereka pada zaman mudanya. Pendek kata, ramai manusia lambat belajar di 'universiti kehidupan' ini. 'Kurikulum' pelajaran yang sepatutnya telah difahami di peringkat muda baru difahaminya hanya apabila kita meningkat tua.
Alam adalah sebuah 'universiti' yang luas dan besar. Setiap manusia adalah para pelajarnya. Dan manusia terpaksa belajar berterusan. Hidup adalah satu siri pelajaran yang tersusun rapi untuk difahami dan dihayati sepanjang hayat. Mungkin ini juga termasuk dalam maksud "tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad."
Jika difahami, pelajaran-pelajaran ini akan memberi panduan dan suluh kehidupan untuk hidup yang lebih tenang dan bahagia. Tetapi sekiranya pelajaran ini gagal difahami, maka hidup akan huru-hara dan kita akan selalu menghadapi keadaan yang tidak menentu.
Kurikulum pelajaran ini pula tersusun mengikut tahap usia dan tempoh kedewasaan seseorang. Justeru, di peringkat muda ada 'pelajaran-pelajaran' tertentu yang perlu difahami benar-benar sebelum menghadapi usia dewasa yang jauh lebih mencabar. Apakah 'pelajaran-pelajaran' itu dan apakah cara sebaik-baiknya mempelajarinya?
Itulah salah satu persoalan penting yang mesti dijawab oleh setiap kita. Jangan sampai pelajaran yang sepatutnya 'selesai' pada usia muda terpaksa dibawa ke peringkat tua. Kalau begitu keadaannya maka rugilah. Samalah seperti pelajar universiti yang terpaksa 'refer'  atau 'repeat' akibat gagal dalam peperiksaan semester atau tahunan mereka.

Proses Transisi
Para remaja adalah kelompok manusia yang sedang melalui satu proses transisi. Mereka telah meninggalkan alam kanak-kanak tetapi belum mencapai alam dewasa. Tahap transisi ini tidak stabil. Umpama air (cecair) yang hendak bertukar menjadi wap (gas), maka molekul-molekulnya terlebih dahulu bergerak dengan cepat dan tidak menentu.
Keadaan itu samalah dengan remaja, pada tahap itu jiwa, akal, nafsu, emosi dan lain-lain elemen-elemen dalaman mereka sedang bergolak. Takah usia ini paling tidak stabil – tercari-cari identiti diri, krisis pemikiran, ingin mencuba, perubahan biologi dan macam-macam lagi.
Dan di tahap ini juga para remaja akan menemui pelbagai situasi dan kondisi – suka dan duka, kejayaan dan kegagalan, permusuhan dan kasih-sayang, sempadan dan teladan. Muncul pelbagai individu dalam hidup mereka dengan pelbagai kelakuan dan sikap. Terjadi bermacam-macam peristiwa dengan membawa pelbagai kesan.
Ada Pelajaran Untuk Difahami Dan Dihayati
Sesungguhnya semua itu tidak berlaku sia-sia melainkan ada 'pelajaran' yang dibawanya untuk difahami dan dihayati. Para remaja (malah orang tua sekalipun) mesti dapat membaca 'mesej' yang dibawa oleh setiap peristiwa, individu dan keadaan yang berlaku ke atas kita. Jika tidak, kita terpaksa mengulangi pelajaran itu berkali-kali.
Sebab itulah dalam pengalaman kita, sering  kita temui orang tertentu yang sentiasa berdepan dengan masalah yang sama. Abu misalnya, akan sentiasa 'pokai' setiap pertengahan bulan dan sentiasa merungut duitnya tidak cukup. Minah, sudah lima kali ditinggalkan kekasih dan mengeluh tidak ada lelaki yang benar-benar memahami perasaannya. Joe pula, telah tujuh kali jatuh motor dan marah-marah tentang nasib malang yang sedang menimpanya.
Anehnya mengapa Mat tidak mengalami masalah 'pokai' seperti yang selalui dialami Abu. Bedah tidak seperti Minah, dia telah pun bertunang dengan lelaki yang pertama dikenalinya? Manakala Samad, cuma sekali sahaja jatuh motor dalam hidupnya dan sekarang sedang selesa memandu Perodua yang baru dibelinya... Apakah yang menyebabkan keadaan atau nasib mereka berbeza?
Cepat Dan Lambat Belajar
Bezanya ialah ada diantara para kita yang cepat belajar dengan hidup sebaliknya ada di antara mereka yang tidak pernah atau lambat belajar. Yang belajar, akan 'naik kelas' dan layak untuk mengambil mata pelajaran baru yang lebih tingkat dan martabatnya. Yang tidak belajar, terpaksa mengambil mata pelajaran yang sama berkali-kali.
Abu, contoh kita tadi, tidak pernah belajar bagaimana mengurangkan perbelanjaan berbanding pendapatan... dan dia akan mengalami masalah yang sama walaupun kiranya nanti ia menjawat jawatan yang tinggi dan bergaji besar. Manakala Minah, tidak cuba mengenali kelemahan dirinya sendiri sebagai seorang wanita justeru dia sering menemui lelaki yang tidak sepatutnya dia temui.
Pasti Ada Didikan Terus Daripada Allah
Jadi langkah pertama supaya kita 'lulus' dalam pelajaran hidup ialah kita perlu akur bahawa setiap yang berlaku di dalam kehidupan ada unsur pengajaran dan didikan buat kita. Setiap peristiwa, pahit atau manis, setiap individu, baik atau buruk – hakikatnya adalah 'guru' yang mengajar kita. Dan setiap guru itu mengajar sesuatu yang baik, walaupun kadangkala kelihatan pahit, pedih dan sakit kita menerimanya.
Untuk itu, apabila ditimpa sesuatu musibah atau menerima sesuatu nikmat, hendaklah ditanyakan pada diri sendiri, "apakah pelajaran yang di sebalik semua ini?" Pandanglah semua yang berlaku ke atas kita ada tujuan yang tertentu, maka barulah hidup kita sentiasa bertujuan. Kata ahli-ahli sufi, setiap yang berlaku dalam hidup ialah 'mehnah' – maksudnya didikan terus dari Allah.
Mereka berpendapat bahawa apa sahaja yang berlaku dalam hidup adalah ujian dan ujian itu hakikatnya adalah didikan terus daripada Allah. Ahli sufi menambah lagi bahawa jika manusia tidak mampu dididik melalui didikan terus dari Allah (mehnah) maka manusia tersebut tidak akan dapat dididik lagi oleh sesiapaun. Inilah yang ditegaskan oleh Ibnu Attoillah, seorang sufi yang terkenal dalam buku-buku karangannya.
Jika seorang datang membuat kita marah, maka dia adalah 'guru' yang hendak mengajar kita erti sabar. Jika kita selalu 'kesempitan' wang maka itu tandanya kita harus bersedia belajar erti berjimat cermat. Jika kita rasa kita sedang dikecewakan, itu menunjukkan kita sedang belajar untuk membina sikap tidak terlalu mengharap.
Begitulah seterusnya dalam apa jua situasi dan masa, kita hakikatnya sedang belajar dan dididik. Memang pada lahirnya, manusia, peristiwa dan kejadian yang sedang bertindak ke atas kita tetapi sedarilah hakikatnya semua itu adalah datang dari Allah. Semuanya berlaku dengan izin Allah, yang dengan itu DIA hendak mendidik kita. Maka terimalah didikan itu dengan baik kerana tujuanNya mendidik pun pasti baik.
Apakah sebenarnya yang menjadi 'tujuan' di sebalik 'pelajaran-pelajaran' yang datang dan pergi dalam hidup kita? Tujuan utama pelajaran dalam hidup ini adalah untuk mengubah kita ke arah yang lebih. Perubahan tidak dapat dielakkan justeru   hidup ini sendiri adalah satu proses perubahan yang berterusan.
Sudah menjadi sunatullah (peraturan Allah) yang tidak berubah dalam hidup ini adalah perubahan itu sendiri. Perubahan sentiasa berlaku dan ia diluar kawalan manusia. Kita akan kalah jika kita tidak berubah. Jadi, berubahlah mengikut haluan dan kawalan kita sendiri. Jika tidak, kita juga terpaksa berbuah, mengikut kawalan orang lain atau keadaan sekeliling.
Manusia Umpana Nakhoda Di Lautan
Manusia umpama nakhoda yang belayar di lautan. Sebagai nakhoda kita punya arah dan destinasi tersendiri. Tetapi tiupan angin, pukulan gelombang dan cuaca tidak selalunya menyebelahi kita. Kekadang arah pelayaran kita ke utara tetapi angin bertiup ke selatan. Kita akan tersasar dari destinasi jika menurut sahaja tiupan angin.
Sebaliknya kita akan patah, jika  terus berkeras menentang tiupannya. Jadi, apakah kita menjadi 'Pak Turut' yang terpesong tanpa prinsip dan haluan? Atau bersikap keras, rigid dan akhirnya patah kerana kedegilan melawan gelombang?
Sehubungan itu, bijak pandai pernah berkata, "we can't direct the wind but we can adjust our sail." Ertinya, walaupun kita tidak boleh menentukan takdir  yang menimpa tetapi kita diberi kuasa oleh-Nya untuk mentadbir diri kita. Inilah kelebihan manusia, sebagai khalifah.
Kita diamanahkan untuk mentadbir pendengaran, sentuhan, penglihatan, penciuman, penglihatan, fikiran, emosi, hati dan tindakan kita dalam lingkungan takdir-Nya. Oleh itu, dengan segala kuasa dan kelebihan yang ada, kita perlu berubah mengikut arah dan bentuk yang kita pilih dengan izin Allah jua.
Zon Selesa
Malangnya, ramai manusia yang tidak suka berubah. Ada kita bersikap 'selamba' dan 'relaks' dengan apa sahaja yang berlaku termasuk perubahan yang berlaku pada diri dan sekeliling mereka. Mengapa? Sebab perubahan ertinya hijrah atau berpindah. Setiap hijrah dan berpindah itu menagih kesusahan. Maksudnya, orang yang berhijrah terpaksa meninggalkan zon keselesaan (comfort zone) untuk menuju zon cabaran (courage zone).
Misalnya, anak kecil yang hendak berpindah dari tahap merangkak ke tahap berjalan, tentu terpaksa bertatih-tatih, jatuh bangun, jatuh dan terpaksa mengalami calar-calar dan sebagainya. Namun segala-galanya terpaksa dihadapi demi membolehkan dia berjalan. Apa akan jadi kalau ada anak kecil yang terus selesa merangkak dan tidak mahu belajar berjalan kerana takut cabaran? Tentulah tidak ada perkembangan dalam hidup. Maka begitulah para kita, dengan ujian mereka dituntut supaya berubah, jika tidak mereka tidak akan mencapai tahap kematangan untuk berjaya dalam hidup!
Ringkasnya, pelajaran dalam hidup datang bersama tuntutan perubahan. Jika sudah berkali-kali pelajaran disampaikan, tetapi masih tidak ada perubahan, maka itu bermakna kita gagal dalam peperikasaan di universiti kehidupan kita. Apa yang menghalang kita berubah?
Salah satunya ialah keinginan untuk melihat orang lain, keadaan atau peristiwa di luar diri kita terlebih dahulu berubah. "Aku boleh jadi baik, jika guru dan ibu-bapaku melayanku dengan baik," begitu selalu yang kita dengar. "Kedudukan kewanganku boleh stabil, jika pendapatanku bertambah," kata sesetengah yang lain. "Jikalau aku mengenali seorang lelaki yang beriman, aku akan menjadi isteri yang solehah." "Kalau motorku dari jenis yang mahal, tentu aku tidak terlibat dengan accident lagi!"
Begitulah suara-suara kelohan dan harapan yang selalu diluahkan oleh hati kita. Semuanya, mengharapkan keadaan, individu lain dan peristiwa berubah – barulah kita mahu dan mampu berubah. Sedangkan hukum perubahan tidaklah begitu. Kita mesti berubah dulu, barulah keadaan, peristiwa dan individu lain berubah akibat perubahan kita.
Guru dan ibu-bapa akan melayan kita dengan baik, jika kita terlebih dahulu berusaha menjadi anak atau murid yang baik. Anda berjimat cermat dahulu, barulah kedudukan kewangan anda akan stabil. Anda jadi wanita solehah dahulu, barulah akan ada lelaki beriman yang akan melamar anda. Dan anda perlu baiki dan memandu motor 'buruk' anda dengan baik barulah anda tidak terlibat dengan 'accident' dan akhirnya layak untuk mendapat motor baru yang mahal harganya!
Pelajaran Yang Menuntut Perubahan Berterusan
Ingat, setiap kali sesuatu menimpa kita, sama ada baik atau buruk... itu adalah pelajaran yang menuntut perubahan. Maka ubahlah diri kita selalu, ke arah yang baik, lebih baik dan cemerlang. Setiap detik, setiap ketika, ada sahaja peristiwa yang akan kita hadapi... maka belajarlah secara berterusan, dan berubahlah secara berterusan... Nanti kita akan mencapai kebaikan secara berterusan pula.
Jangan sekali-kali menangguhkan pelajaran, nanti anda akan menangguhkan perubahan dan akhirnya menangguhkan datangnya kebaikan. Belajarlah di universiti kehidupan semasa masih ada masa lagi, supaya kita tidak diburu penyesalan apabila tempoh pengajian tamat (mati).
Kata pepatah, "belajar sewaktu muda bagai melukis di atas batu, belajar sewaktu tua bagai melukis di atas air." Teringat kata Dale Carnargie, "jangan gergaji abuk kayu!" Dan itulah nasib orang tua yang tidak belajar semasa mudanya!
Buat diri ku dan diri mu, kuaklah tirai hari ini dan ingatkan diri... aku adalah pelajar di universiti kehidupan ini. Hari ini Allah pasti mengajar ku melalui perlakuan-perlakuan manusia lain kepada ku.  Dan aku mesti belajar dengan orang lain, kejadian, peristiwa itu – pahit atau manis.
Jika manis, Allah mengajarku erti syukur. Jika pahit, Allah mengajar ku erti sabar. Jika dikecewakan, aku sedang belajar hakikat tawakal. Bila cemas, Allah mengajar ku erti raja' (mengharap). Jika sedikit, Allah mengajar ku erti qanaah (berpada-pada). Ya Allah, lepaskan hati kami dari asbab-asbab ini, agar kami bebas dan tenang berpaut pada 'musabbabil asbab' (Penyebab segala sebab) – wajah-Mu ya Allah.
Pujuklah hati, katakan, didikan ini demi cinta-Nya jua.
- Artikel iluvislam.com

Biodata Kolumnis
Ustaz Pahrol Mohd Juoi merupakan seorang penulis buku, artikel, lirik nasyid dan juga skrip. Salah satu buku karangan beliau adalah 'Tentang Cinta.' Penulis kelahiran Ipoh, Perak ini merupakan seorang master trainer untuk syarikat Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. dan juga ketua editor majalah Solusi terbitan syarikat Telaga Biru Sdn. Bhd. Blog beliau adalah www.genta-rasa.com.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...