Bahana Muflis
Ahmad: “Korang, mana nak pergi public holiday ni? Pavilion,
Mid Valley, Suria KLCC, Sunway Pyramid, The Curve, One Utama, Subang Parade,
Lot 10, Times Square, Wangsa Walk….semua aku dah redah…bosan la!”
Raju: “Sama lah dengan aku. IOI Mall, Alamanda pun dah
jemu sangat! Ha, aku dengar ada shopping complex baru kat
Gombak. Nama dia Festival City. Apa lagi, jom attack!”
Adakah anda familiar dengan dialog harian ini? Teruskan
membaca.
Baru-baru ini, didedahkan di dada akhbar betapa kronik sebenarnya fenomena
muflis di negara kita dan yang paling memeranjatkan ialah ia melibatkan
golongan muda (bawah 40 tahun). Tetapi jika diselidik kembali, ianya tidaklah
sangat memeranjatkan jika kehidupan seorang eksekutif muda, kos sara hidup yang
semakin meningkat dan jumlah pusat beli belah di Malaysia diperhati dan dibuat
analisis.
Suka membeli belah dan pengurusan kewangan yang teruk itulah yang gambaran
paling tepat mengenai sikap golongan muda di Malaysia. Berdasarkan kajian
secara rambang yang dilakukan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan
dan Sumber Pengguna, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Paul
Selvaraj dimana dalam tempoh 3 tahun yang lalu, sebanyak 41 orang diisytiharkan
bankrap setiap hari. Sementara pada setiap hujung minggu pula, kira-kira lima
juta pengguna berpusu-pusu menyerbu 320 pusat membeli belah yang terdapat di
seluruh negara!
Kita ambil contoh mudah dengan melihat senario graduan baru bekerja. Kita
andaikan graduan itu mendapat gaji RM2,000 sebulan (tidak termasuk graduan
mendapat gaji tidak setimpal dengan kelulusan iaitu RM800 hingga RM1,200).
Dengan gaji RM2,000, bermulalah kerjaya graduan sebagai eksekutif muda di
bandar atau di kawasan pinggir bandar. Dengan semangat berkobar-kobar berserta
iringan doa dan kata perangsang ibu bapa, bekerjalah eksekutif muda dengan azam
membangunkan diri, membantu ibu bapa dan keluarga yang banyak berkorban.Tetapi
selepas mengharungi hidup sebagai eksekutif muda dan terdedah dengan
persekitaran kerja yang mencabar mental dan fizikal, perubahan demi perubahan
positif dan negatif banyak mengubah hidup eksekutif muda sehingga perubahan itu
menjerat diri dan kehidupan mereka sebagai individu, pekerja dan sebagai anak
dalam keluarga iaitu hutang.
Bagaimana eksekutif muda ini boleh terdedah dengan hutang dan akhirnya
hidup dikelilingi hutang? Marilah kita bersama-sama melihat situasi ini dengan
lebih khusus dan telus (berdasarkan pendapatan dan perbelanjaan):
Gaji: RM2,000 sebulan
Perbelanjaan:
- Sewa rumah/bilik RM200 (berkongsi rumah dengan rakan)
- Ansuran kereta RM300 (bergantung jenis kereta, kalau mahal maka tinggi
ansuran bulanannya)
- Duit minyak dan tol RM450 (anggaran perjalanan pergi dan balik kerja,
tidak termasuk perjalanan lain)
- Makan dan minum RM500
- Sosial dan riadah RM300 (bersama rakan dan hal peribadi)
- Bayaran bil RM200 (api, air, telefon, bil pelbagai)
- Bayar kredit barang RM300 (hutang set hi-fi, TV, peti sejuk, dapur masak
dan pelbagai barang elektrik)
- Barang peribadi RM200 (tambah kad prabayar, barang kesihatan dan
kecantikan, pakaian, kasut, aksesori diri bagi wanita, aksesori kereta dan
tukar telefon bimbit)
- Hal kecemasan RM100 (sakit, beri pinjam kawan, kereta rosak)
- Simpanan RM100 (kerana memikirkan hendak kahwin, insuran kereta dan tunai
haji)Ini tidak termasuk dengan perintah bayar daripada pinjaman pelajaran
mereka di universiti yang sering eksekutif muda ini ‘sengaja buat lupa’ tetapi
tidak pernah lupa untuk bayar perbelanjaan berkaitan urusan peribadi mereka.
Katakan eksekutif yang ‘memaksa diri’ bayar pinjaman secara minimum RM100, jadi
berapa gaji bulanan mereka yang tinggal? Pendapatan RM2,000 sebulan dan
perbelanjaan seperti di atas RM2,750. Bermakna eksekutif muda itu berhutang
RM750 sebulan. Bayangkan bagaimana jika mereka bergaji RM1,000 hingga RM1,500
sebulan? Sudah tentu hutangnya lebih banyak!
Daripada contoh di atas, kita lihat tiada langsung baki gaji bulanan
eksekutif itu, malah menunjukkan ketidakcukupan gaji setiap bulan iaitu RM750.
Ini andaian bagi gaya hidup eksekutif yang paling minimum dengan kos hidup
semasa. Cuba bayangkan jika eksekutif itu mengamalkan gaya hidup mewah yang
langsung tidak sepadan dengan gaji bulanan yang diterima. Berapa agaknya
kekurangan gaji yang perlu mereka hadapi setiap bulan. Itu tidak termasuk jika
kita mempersoalkan duit yang perlu diberi kepada ibu bapa yang sentiasa berdoa
agar anak mereka mampu memberi wang untuk membantu meringankan perbelanjaan
keluarga.
Lebih menyedihkan, anak yang diharapkan membantu keluarga selepas bekerja,
meminta wang daripada ibu bapa dengan alasan kos hidup tinggi dan baki gaji
bulanan tidak cukup. Ada juga memikirkan alternatif mendapatkan wang tanpa
perlu meminjam duit ibu bapa atau rakan kerana malu akan dicap ‘muka subsidi’
akan menjadikan kad kredit sebagai ‘abang long’ mereka. Dengan pelbagai promosi
yang menonjolkan gaya dan aura kad kredit sebagai satu gaya hidup bagi
eksekutif muda masa kini, maka terpesonalah eksekutif yang sering putus wang
untuk menggunakan kad kredit sebagai sumber kewangan alternatif mereka. Tanpa
mereka sedari atau sengaja tidak sedar diri, kad kredit itulah yang menjadikan
mereka terus berhutang dan akhirnya hutang melilit pinggang.
Tetapi jika dipandang pada sudut lain, kebanyakan anak muda yang
diisytiharkan muflis boleh dikatakan kesemuanya berada dibawah lingkungan umur
bawah 40 an dan tinggal di bandar -bandar besar. Dan antara sebab mengapa
sesetengah anak muda terlibat dengan pinjaman bank melalui pinjaman peribadi
dan kepenggunaan kad kredit adalah bertujuan untuk menampung perbelanjaan
harian mereka gara – gara kos sara hidup yang terlalu tinggi. Bukan semuanya
mengamalkan gaya hidup mewah. Sebilangan anak muda terpaksa membuat pinjaman
peribadi di bank untuk menamatkan zaman bujang mereka, dimana kita sedia maklum
bahawa faedah (bunga) adalah terlalu tinggi didalam sistem sesetengah
perbankan. Anak muda terpaksa berhutang untuk kahwin sebanyak RM 15,000 ke RM
20,000 . Ditambah dengan kos perkahwinan saban tahun semakin meningkat dan
dengan hutang termasuk faedah (bunga) sekali. Ini bermakna mereka akan
mengambil masa yang lama untuk menyelesaikan masalah hutang.
Dan dalam masa yang sama juga, mereka terpaksa membuat pinjaman untuk
membeli kereta dan rumah bagi memenuhi keperluan hidup berkeluarga. Ditambah
pula pasangan yang bekerja. Mereka terpaksa menghantar anak mereka kepada
pengasuh atau ke Pusat Asuhan Kanak – Kanak. Ini sudah tentu melibatkan
penambahan kos. Ini belum lagi menyentuh kepada pinjaman pengajian di IPTA
mahupun IPTS pada masa terdahulu daripada PTPTN. Tempoh bayaran semula pinjaman
kepada PTPTN yang panjang ditambah dengan faedah yang tinggi. Maka disinilah
datangnya ‘malaikat penyelamat’ iaitu kad kredit!
Laporan Bank Negara mendedahkan hampir separuh daripada
pemegang kad kredit yang diistytiharkan bankrap adalah mereka yang berusia
dibawah 30 tahun. Mereka muda dan mewah, tetapi lemah pengurusan kewangan. Kad
kredit hanya mengundang malapetaka jika anda tidak pandai menguruskannya dengan
professional. Lebih buruk lagi apabila pada usia 30 tahun mereka terpaksa
menanggung hutang dan perlu mendapatkan bantuan professional untuk mengeluarkan
mereka daripada muflis. 15 peratus daripada hampir 40,000 individu yang
menyertai program pengurusan kredit Agensi Kaunseling dan Pengurusan
Kredit (AKPK) adalah mereka yang berusia bawah 30 tahun.
Mari kita kaji pula senario seorang eksekutif berjaya yang juga merupakan
seorang pemegang kad kredit ‘berjaya’.
Di bawah akta Bankrap 1967, seseorang itu boleh diisytiharkan bankrap
sekiranya mereka berhutang serendah RM30,000 setiap pemiutang. Raju adalah
seorang arkitek yang berjaya. Masih lagi bujang dan tidak mempunyai sebarang
tanggungan. Pada usia 30 tahun dia telah pun memiliki satu kereta sport, satu
kereta mewah dan dua kondominium hasil dari titik peluhnya. Dia mempunyai
mentaliti sanggup berusaha menghadapi rintangan dan bekerja keras untuk
mendapatkan apa yang diingini beliau.Dia juga percaya kepada falsafah wang
boleh membeli apa saja. Raju memang gemar dengan perhatian yang diberikan orang
ramai apabila melangkah bergaya dengan pakaian lelaki lengkap ditempah khas.
Gaya hidup mewah kesukaan terhadap barangan berharga dan berjenama sebegini
turut menjadi ikutan ramai golongan professional.
Dia banyak bergantung kepada kad kredit dan hampir kesemua perbelanjaannya
dibiayai kad kredit. Raju amat taksub dengan bilangan digit pendapatannya,
tidak sedikit pun bimbang dengan tsunami yang bakal mendatang.
Kemudahan mendapat pinjaman wang satu penghargaan dari segi kewangan, telah
disalahgunakan oleh Raju. Apa yang dia tahu adalah berbelanja dan mendapatkan
apa yang dingini. Tanpa disedari dia terjerat di dalam pasir jerlus hutang
kombinasi 3-C (condo,car,credit card). Jumlah pinjaman perumahan,
pinjaman kenderaan dan kad kredit ahkirnya mencecah RM380,000.
Pada mulanya dia tidak percaya bebanan hutang yang ada dihadapan matanya.
Dia tidak faham kenapa seseorang yang mempunyai pendapatan sihat boleh terjebak
dengan bebanan hutang yang banyak. Dia cuba sedaya upaya untuk tidak
mengendahkan hutangnya tetapi semakin dielak semakin ngeri igauan yang
ditanggungnya. Akhirnya Raju mengaku tewas lalu mendapatkan perkhidmatan
dari AKPK.
AKPK menasihatkan Raju untuk menjual salah satu hartanah kepunyaannya demi
meringankan beban hutang bulanan. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal dan
dia bersetuju serta strategi di atur untuk menyelamatkannya dari terus dibebani
hutang di masa depan. Dari segi liabiliti AKPK telah berjaya
menyelamatkan sejumlah 45% daripada bayaran bulanan hutangnya.
Berbekalkan pendapatan bulanan yang mantap dengan keinsafan baru,
Raju kini melalui kehidupan dengan sejahtera meskipun masih belum lepas
sepenuhnya dari mulut harimau.
Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Antara cara-cara yang boleh
dipraktikkan golongan muda ialah:
Cari ilmu Kewangan – Hadiri kelas, seminar dan bengkel kewangan, baca
sebanyak mungkin buku tentang kewangan, faham dan cuba ikut apa yang
disampaikan.
Dapatkan khidmat perancang kewangan yang bertauliah, seorang perancang
kewangan bukan penjual produk, cari mereka yang membantu anda merancang
kewangan anda dengan mengenakan yuran. Ini bagi mengelakkan seorang perancang
kewangan menjual sesuatu produk yang tidak diperlukan oleh anda oleh kerana
mereka mempunyai kepentingan didalam produk tersebut.
Antara ilmu asas yang perlu ada
pada diri anda adalah mengenai aliran tunai dan budget atau belanjawan. Seperti
juga kesihatan diri, aliran tunai akan menentukan tahap kesihatan kewangan
anda, jika anda mempunyai aliran tunai negatif maka kuranglah kebolehupayaan
anda untuk mempunyai wang yang cukup manakala budget pula seperti diet (makan
makanan yang berkhasiat untuk badan anda), budget yang baik akan memastikan
bahawa segala belanjawan yang dibuat mempunyai impak kewangan yang positif ke
atas diri anda.