Khamis, 26 Mei 2011

Kenali tokoh Islam: Perginya seorang Mujahid~

Tokoh syeikhul Islam : Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna.

Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna dilahirkan pada Oktober  1906 di DesaAl-Mahmudiya yang terletak di daerah al-Bahriyyah,Iskandariah,Mesir. Beliau berasal daripada sebuah keluarga ulama’ yang dihormati dan terkenal kerana begitu kuat mentaati ajaran dan nilai-nilai Islam. Mujahid Islam ini dibesarkan dalam suasana keluarga yang merendah diri dan hidup dalam keadaan yang serba sederhana.

Hassan Al-Banna merupakan anak sulung daripada lima beradik. Ayahnya, Syeikh Ahmad Ibn Abdul Rahman Al-Banna ialah seorang ulama’, imam, guru, dan pengarang beberapa buah kitab hadith dan fiqah  perundangan Islam yang berkelulusan Universiti Al-Azhar, Mesir. Beliau dikenali sebagai seorang yang bersopan santun, pemurah, merendah diri, dan tingkah laku yang menarik. Namun beliau hanya bekerja sebagai tukang jam di desa al-Mahmudiya untuk menyara keluarganya. Masa yang selebihnya digunakan untuk mengkaji, menyelidik dan mengajar ilmu-ilmu agama seperti tafsir al-Quran dan Hadith kepada penduduk tempatan.

Sebagai seorang ulama’, Syeikh Ahmad Ibn Abdul Rahman al-Banna mempunyai perpustakaan yang agak besar di rumahnya. Beliau menghabiskan sebahagian masanya mempelajari sunnah Rasulullah dan membincangkannya dengan rakan-rakan di kedai dan di rumah. Hassan Al-Banna juga sering menghadiri dan mengambil bahagian dalam perbincangan tersebut. Pertemuan ini memberi kesan yang mendalam kepada pemikiran,wawasan dan yang penting perwatakannya. Ketokohan, keilmuan dan keperibadian Syeikh Ahmad Al-Banna diwarisi oleh Hassan Al-Banna.


Kepimpinan Hassan Al-Banna.

Sifat kepimpinan beliau terserlah sejak beliau masih di sekolah rendah. Beliau menjadi pemimpin Badan Latihan Akhlak dan Jemaah al-Suluka al-Akhlaqi yang dikelolakan oleh gurunya di sekolah. Pada peringkat ini beliau telah menghadiri majlis-majlis zikir yang diadakan oleh sebuah pertubuhan sufi, al-Ikhwan al-Hasafiyah. Melalui pertubuhan ini beliau berkenalan dengan Ahmad al-Sakri yang kemudiannya memainkan peranan penting dalam penubuhan Ikhwanul Muslimin.
Keluarga Hassan Al-Banna begitu tegas dalam mendidik anak-anak berdasarkan ajaran Islam. Hal ini menyebabkan beliau telah menghafaz al-Quran dalam usia muda dan telah memasuki Pusat Latihan Perguruan. Selepas tiga tahun di sana beliau mendapat tempat pertama dalam peperiksaan akhir. Beliau telah memasuki Darul Ulum di Kaherah pada awal usia 16 tahun kerana kebijaksanaan dan ilmu pengetahuannya yang luas.

Semasa di Kaherah, Hassan Al-Banna terdedah dengan pergolakan parti politik dan aliran-aliran menentang Islam yang dicetuskan oleh Gerakan Kamal Artatuk. Parti-parti politik, kumpulan-kumpulan sasterawan dan pertubuhan-pertubuhan sosial sekular kebanyakannya bertujuan melemahkan pengaruh Islam. Beliau kemudian menganggotai pertubuhan Jamait al-Makram al-Akhlaq yang giat mengadakan ceramah-ceramah Islam. Melalui pertubuhan ini, Hassan Al-Banna dan rakan-rakannya menjalankan dakwah ke serata pelosok tempat, di kedai-kedai kopi dan tempat perhimpunan orang ramai. Pada peringkat inilah beliau bertemu dan mengadakan hubungan dengan tokoh-tokoh Islam terkenal seperti Muhibbuddin al-Khatib, Muhammad Rashid Reda, Farid Wajdi dan lain-lain.


Menubuhkan Ikhwanul Muslimin.

Pada Mac 1928, dalam usia 23 tahun, Hassan Al-Banna beserta adik dan lima orang sahabatnya berkumpul di rumahnya dan bersumpah untuk hidup dan mati kerana Islam. Di rumah itulah Jemaah Ikhwanul Muslimin telah ditubuhkan. Pada ketika itu beliau baru mendapat ijazah dari Darul Ulum serta berkhidmat sebagai guru bahasa Arab di salah sebuah sekolah di bandar Ismailiyah.
Setelah berkhidmat selama 19 tahun dalam bidang perguruan, beliau meletakkan jawatan pada tahun 1946 untuk menyusun kegiatan dakwah yang berkesan dalam masyarakat bandar. Pengalaman ahli jemaah yang dikumpulkan sekian lama menjadikan Ikhwanul Muslimin sebagai sebuah gerakan yang berpengaruh.


Pengharaman Ikhwanul Muslimin dan Konspirasi pembunuhan Hassan Al-Banna.

Pengaruh Ikhwanul Muslimin yang kuat amat dikhuatiri oleh Kerajaan Mesir di bawah pentadbiran Noraqshi Pasha daripada Parti al-Safdi. Pada 8 November 1948, beliau telah mengharamkan Ikhwanul Muslimin atas tuduhan merancang satu pemberontakan untuk menjatuhkan kerajaan. Sumbangan Ikhwanul Muslimin menghantar beribu-ribu orang pejuang dalam perang menghadapi Israel seolah-olah dinafikan. Kesemua cawangannya yang berjumlah lebih 3000 diarahkan supaya dibubarkan.

Dengan alasan untuk mengendurkan ketegangan antara Ikhwanul Muslimin dan kerajaan, pihak kerajaan menjemput Hassan Al-Banna untuk berunding bertempat di Pejabat Jam’iyyah al-Syubban al-Muslimin. Sebenarnya jemputan itu hanyalah sebagai helah untuk membunuh beliau.

Pada 12 Februari 1949 jam 5 petang, Hassan al-Banna bersama iparnya Abdul Karim Mansur, seorang peguam, yang juga suami kepada adik perempuannya berada di pejabat itu. Mereka menunggu Menteri Zaki Ali Basya yang dikatakan mewakili kerajaan untuk berunding, tetapi malangnya Zaki Ali Basya tidak kunjung tiba.

Akhirnya, setelah selesai menunaikan solat Isyak mereka memanggil teksi untuk pulang. Ketika baru sahaja menaiki teksi yang dipanggil, dua orang yang tidak dikenali menerpa ke arah teksi dan salah seorang daripada mereka terus melepaskan tembakan pistol. Mereka berdua terkena tembakan tersebut. Iparnya itu tidak dapat bergerak akibat terkena tembakan secara mengejut oleh dua pemuda tadi. Walaupun terkena tujuh tembakan, Hassan Al-Banna masih mampu berjalan masuk semula ke pejabat Jam’iyyah al-Syubban al-Muslimin memanggil ambulans untuk membawa mereka ke hospital.

Setibanya di hospital Qasral ‘Aini, mereka dikawal rapi oleh Jeneral Muhammad al-Jazzar dan tidak membenarkan sebarang rawatan diberikan kepada Hassan Al-Banna. Pada pukul 12.50 tengah malam, Hassan Al-Banna menghembuskan nafas  yang terakhir akibat tumpahan darah yang banyak. Beliau telah gugur syahid.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...